KHUTBAH RASULULLAH
PERIHAL DAJJAL
Dari
Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di
hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal.
Baginda telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi
yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi
yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah
nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak
mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan
aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi
setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga
dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.
“Dajjal
itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi
manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah
kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum
diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.
“Pada
mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi
nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa
Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat
matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan
juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh
setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.
“Di
antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu
sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di
antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan
kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya
itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.
“Di
antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku
sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu,
apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata:
“Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya
sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya:
“Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”
“Di
antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua.
Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan
terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah
orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa
Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab:
“Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah.”
Orang
itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi
darjatnya di syurga.”
Kata
Rasulullah s.a.w lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya
menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan
tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi
manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak
me-ngakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan
ternakan mereka tidak menjadi.
“Dajjal
itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung
itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat
mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.
“Tidak
ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah
dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana
dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah.
Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota
Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan
seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi
bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang
dikatakan hari pembersihan kota Madinah.
Dalam
hadis yang lain, “di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal
itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman
kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak
menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu
tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya.
Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan
hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka
mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur.”
No comments:
Post a Comment